Info Yang Dicari Ramai Orang

Rambo Bentong Tak Sekuat Rambo

Rambo Bentong Tak Sekuat Rambo.

 

Rabidin Satir sebelum ini dikenali penjenayah kejam. Dia yang digelar Rambo Bentong ‘mencatat sejarah’ sendiri apabila dihukum penjara 133 tahun untuk beberapa kesalahan membabitkan pertuduhan cubaan bunuh, liwat dan rogol.

 

Namun, sejak dua prosiding lalu bagi kes pertuduhan bunuh dan rogol lima tahun lalu yang sedang dihadapinya, fizikal Rabidin jauh berbeza daripada gelaran rambo mahu pun ‘orang minyak’ yang pernah diberi kepada penjenayah itu.

 

Selepas menjalani hukuman sebatan 24 kali iaitu hukuman yang digeruni ramai penjenayah pada 2 Mei lalu, ternyata, fizikal Rabidin sudah berubah malahan dia hadir ke Mahkamah Tinggi di sini dengan berkerusi roda untuk sekali lagi.

 

Kali pertama dia kelihatan berkerusi roda pada prosiding 14 Mei lalu dan mahkamah terpaksa menangguhkan keterangan bela diri tertuduh bagi kesalahan membunuh dan merogol seorang remaja, lima tahun lalu.

 

Hari ini, setelah lebih sebulan menjalani hukuman sebat, dia kelihatan masih lemah serta tidak menjawab sebarang soalan ketika ditanya oleh jurubahasa.

 

Ini menyebabkan Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menangguhkan prosiding sehingga 4 Julai ini bagi membolehkan pihak pendakwa membawa doktor pakar dari Hospital Bentong untuk memberi keterangan mengenai tahap kesihatan tertuduh.

 

Menurut Ab. Karim, walaupun laporan perubatan yang diberi pihak penjara menyatakan tertuduh telah sihat namun Rabidin tetap kelihatan tidak bermaya dan enggan menjawab soalan yang diajukan.

 

"Tertuduh menunjukkan keadaan sakit serta tidak memberi respons ketika diminta untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi seperti yang dipilihnya sebelum ini," katanya.

 

Rabidin sebelum ini diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, antara pukul 11.30 malam, 7 Mac 2009 dan 1.50 petang, keesokan harinya di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong dekat sini.

 

Dakwaan terhadap tertuduh dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

 

Lelaki itu turut didakwa di bawah Seksyen 376(4) kanun sama kerana merogol mangsa sehingga menyebabkan kematiannya di tempat dan masa yang sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

 

Rabidin yang tidak bekerja, diwakili peguam Richard Bong Chong Fook, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustaffa.

 

Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan ke atas Rabidin kerana tertuduh langsung tidak bermaya selepas menerima sebatan 24 kali atas beberapa kesalahan rogol dan liwat dilakukannya sebelum ini.

 

Sebelum ini, pada 5 Februari tahun lalu, Rabidin dihukum penjara berjumlah 115 tahun dan sebatan 50 kali selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub terhadap empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii ke atas empat mangsa berumur antara lapan hingga 17 tahun.

 

 

Sumber : Utusan Malaysia

Tag : Semasa

Advertisment

Dikuasakan oleh Blogger.
Back To Top