Info Yang Dicari Ramai Orang

Aliza Rafar Sambut Ulang Tahun Alhijrah

Aliza Rafar Sambut Ulang Tahun Alhijrah..Nama Aliza Rafar pada era 1990-an cukup dikenali ramai. Hakikat ini kerana kebanyakan drama lakonannya di bawah terbitan syarikat HVD begitu menjadi perhatian penonton.

Aliza Rafar warnai AlHijrah - Harian Metro

Bagaimanapun sebaik saja mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan pengarah Zack Idris, kakak kepada Linda dan Diana Rafar ini terus menyepikan diri.

Liza Rafar ketika ditemui RAP, baru-baru ini berkata, dia berhenti berlakon seketika kerana membesarkan anak-anak. Kini mereka semakin membesar dan dapatlah dia aktif semula dengan restu suaminya.

"Apapun, hingga sekarang saya masih merindui zaman berlakon dengan HVD dulu. Banyak pengalaman menarik yang sempat ditimba. Ketika itu ada yang salah anggap saya adalah Ochee.

"Tak dinafikan memang wajah kami seiras kerana Ochee adalah ibu saudara saya. Hubungan kami pun rapat dan masing-masing juga tak kisah apabila peminat ada kalanya keliru dengan wajah kami," katanya mengimbas kenangan lama.

Aliza Rafar yang kini sudah berhijab ditemui ketika hadir pada majlis sidang media sempena sambutan ulang tahun keempat TV AlHijrah (TVAH) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kata pelakon filem Jogho arahan U-Wei Shaari itu lagi, minatnya kepada lakonan tidak pernah pudar meskipun membuat keputusan berehat seketika demi keutamaan keluarga.

"Apapun, syukur Alhamdulilah kerana rezeki saya pada bidang lakonan masih ada walaupun sekarang sudah berhijab. Saya baru terbabit drama Dalam Iradatmu sebanyak 13 episod.

"Saya seronok melakonkan watak ibu dan bergandingan bersama pasangan suami isteri, Zahiril Adzim dan Shera Ayob. Ramai pelakon zaman sekarang berbakat besar.

"Apa yang pasti, dengan penubuhan TVAH sekurang-kurangnya menjadi platform untuk artis wanita yang sudah berhijab seperti saya untuk meneruskan karier seni.

"Menerusi rangkaian drama dan telefilem disediakan, ia dilihat begitu mengikut garis panduan ditetapkan dalam Islam. Selain menutup aurat, tiada juga babak bersentuhan dengan yang bukan muhrim," jelasnya.

Menurut Aliza  Rafar, sebagai wanita yang berstatus isteri dan ibu, semestinya dia akan memberi penekanan kepada setiap watak yang dilakonkan. Ujarnya, asalkan wataknya sesuai dan tidak keterlaluan, dia boleh menimbangkan tawaran itu.

Sumber :

Advertisment

Dikuasakan oleh Blogger.
Back To Top